Mikail Andre akui selesa bekerja dengan abang sendiri

Mikail Andre akui selesa bekerja dengan abang sendiri

5 Dis – Pelakon Mikail Andre akui selesa bekerja dengan abangnya yang merupakan pelakon dan pengarah terkenal Pierre Andre kerana abangnya banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Saya tahu sekarang boleh dikatakan apa saja filem diarahkan Pierre, pasti ada watak untuk saya. Namun inilah rezeki. Apapun, saya sedia terima tawaran Pierre bukan disebabkan hubungan adik beradik, tetapi selalunya karakter diberi sesuai dengan saya.

"Saya akui memang selesa bekerja dengan abang mahu pun ibu (Khatijah Tan) saya di lokasi penggambaran kerana mereka banyak membantu memberi tunjuk ajar untuk menjiwai watak," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah Mikail lagi, walaupun selesa bekerja dengan abangnya sendiri, namun dia tetap menghormati Pierre sebagai pengarah di lokasi dan sentiasa mengutamakan kehendak Pierre untuk watak yang diberikan kepadanya.

Selepas kejayaan filem bergenre 'found footage' "Highland Tower", Mikail sekali lagi tampil dalam filem arahan Pierre "Cerita Hantu Malaysia" yang menggunakan genre omnibus iaitu tiga cerita dalam satu filem.

"Cerita Hantu Malaysia" yang dibintangi Mikail, Leez Rosli, Wan Ellyas, Adam Shah, Kamal Adli, Rahim Omar dan Kamarul Yusoff itu sudah pun mula ditayangkan sejak 25 Disember 2014.